Senarai Buku
Tutup

Perjanjian Lama

Perjanjian Baru

Amsal 2

A A A
Alkitab Versi Borneo

Manfaat hikmah

1Hai anakku, jika engkau menerima kata-kataku

dan menyimpan perintah-perintahku dalam dirimu,

2mengarahkan telingamu kepada hikmah,

dan mencenderungkan hatimu kepada pengertian;

3jika engkau berseru memohon pengertian,

dan mengangkat suaramu memohon pengertian;

4jika engkau mencarinya seperti perak,

dan menggalinya seperti menggali harta terpendam,

5maka engkau akan memahami apa ertinya takut kepada TUHAN

serta memperoleh pengetahuan tentang Allah.

6Kerana TUHAN sajalah yang mengurniakan hikmah,

dan daripada mulut-Nyalah datang pengetahuan serta pengertian.

7Dia menyimpan hikmah bagi orang yang lurus,

dan menjadi perisai bagi mereka yang hidup dalam keikhlasan.

8Dia menjaga jalan keadilan,

dan memelihara jalan orang salih-Nya.

9Maka engkau akan memahami apa yang benar, adil, dan saksama

serta segala jalan kebaikan,

10kerana hikmah akan masuk ke dalam hatimu,

dan pengetahuan akan menyenangkan jiwamu.

11Budi bicara menjadi pengawas kamu,

dan pengertian akan menjaga kamu,

12untuk melepaskan kamu daripada cengkaman kejahatan

dan daripada orang yang mengucapkan tipu muslihat,

13yang meninggalkan jalan-jalan lurus

untuk meredah lorong-lorong gelap,

14yang suka berbuat kejahatan,

yang gembira kerana tipu muslihat yang jahat,

15yang sesat jalan-jalannya

serta bengkang-bengkok perilakunya.

16Engkau pun akan terlepas daripada perempuan lucah,

daripada perempuan penzina dengan pujuk rayunya,

17yang meninggalkan teman hidup masa mudanya

serta melupakan perjanjian dengan Allahnya.

18Sesungguhnya, di liang mautlah rumahnya tergenang,

dan jalannya menuju dunia orang mati.

19Semua orang yang datang kepadanya tidak akan kembali,

dan tidak menemukan jalan hidup.

20Dengan demikian engkau dapat menempuh jalan orang baik-baik,

dan tetap berada di jalan orang benar,

21kerana orang yang tulus hati akan mendiami bumi,

dan orang yang ikhlas akan tetap tinggal di situ;

22tetapi orang durjana akan dilenyapkan daripada bumi,

dan para pengkhianat akan direnggut dari situ.